SINGAPURA KELUAR DARI MALAYSIA
Reference
· Redzuan NHMJM, Samah AA, Rashid IHM. Pengajian Malaysia, Kenegaraan dan Kewarganegaraan; Edisi kedua;78-81.
Legend:
(........)= Nothing is more true than this
(........)= ?????
(........)= !!!!!!!!
(........)= :(
Minat mendalam Singapura untuk menyertai Malaysia tidak kekal. Pelbagai peristiwa dalaman telah berlaku dan memberi kesan ke atas pendirian Singapura tentang keanggotaannya dalam Malaysia. Lebih kurang dua tahun selepas Malaysia terbentuk orang-orang Melayu dan Cina di Malaya dan Singapura mengalami polarisasi kaum yang berbahaya. Yang jelas, polarisasi itu berlaku di antara pelampau Cina di Singapura dengan pelampau Melayu di Malaya, tetapi semakin mengancam toleransi dan hubungan kaum Cina-Melayu secara menyeluruh. Saluran perbalahan itu ialah People's Action Parti Singapura dan PERIKATAN di Malaya.
Keretakan hubungan Singapura-Kuala Lumpur mula timbul dalam suasana pilihan raya pertama Malaysia pada tahun 1964, manakala PAP merupakan antara banyak parti bertanding. Sebelum pilihan raya Lee Kuan Yew dan beberapa pemimpin PAP yang lain berkali-kali memperkecilkan MCA termasuk mengatakan pemimpin MCA kurang berkaliber dan terlalu bersahabat dengan UMNO. Kata-kata seumpama itu tidak disukai bukan sahaja oleh pemimpin MCA tetapi juga oleh pemimpin-pemimpin UMNO termasuk Tunku Abdul Rahman yang sangat menghargai persefahaman dan hubungan baik UMNO dengan MCA.
Sikap Lee Kuan Yew dan PAP amnya ditafsir oleh MCA dan juga oleh UMNO sebagai satu taktik PAP hendak mengambil alih peranan MCA dalam menjaga kepentingan kaum Cina. Kempen pilihan raya PAP secara besar-besaran jelas menunjukkan sikap itu. Laungan PAP supaya Cina menyokong PAP bagi memaksa pemimpin UMNO mengubah layanan sosial dan ekonomi mereka terhadap penduduk bandar menyebabkan pemimpin UMNO menganggap tindakan itu satu serangan langsung terhadap orang Melayu dan hak keistimewaan Melayu.
Sesungguhnya kempen pilihan raya pertama Malaysia itu satu peristiwa yang memberi kesan yang serius. Sementara orang Cina berasa keliru, orang Melayu amnya terus mencurigai Lee Kuan Yew. Sebilangan besar orang Melayu mentafsir tindakan Lee dan amnya PAP sebagai tindakan untuk menimbulkan permusuhan. Rasa permusuhan politik semakin lama menjadi sentimen perkauman yang negatif. Kecaman PAP seterusnya terhadap MCA sebagai parti yang lemah dianggap oleh pemimpin PERIKATAN satu usaha memecah belahkan persefahaman baik dalam PERIKATAN. Menjelang Julai 1964, ketegangan hubungan kaum sangat jelas. Malahan ketegangan meletus menjadi rusuhan sebanyak dua kali; iaitu pada 21 Julai dan sekali lagi pada 2 September 1964. Peristiwa-peristiwa itu telah merosakkan persefahaman antara Tunku dengan Lee. Hubungan Lee dengan pemimpin-pemimpin MCA juga semakin merosot. Keadaan ini telah mendorong Tunku melahirkan rasa kecewanya lalu menyatakan bahawa jika pemimpin Singapura merasakan tiada lagi persefahaman, mungkin perpisahanlah sahaja penyelesaiannya.
Bagi tempoh empat bulan pertama tahun 1965, hubungan Singapura-Kuala Lumpur ditandai dengan perang suara. Pertikaman lidah mula disertai oleh lebih ramai pemimpin. Tiada lagi nampak usaha ikhlas oleh sesiapa untuk membaiki keadaan. Sebaliknya semua pemimpin yang tampil hanya untuk menguatkan perjuangan pihak masing-masing.
Pada 27 April 1965, Singapura mengumumkan satu konvensi bagi membentuk "United Opposition Front" (Barisan Pembangkang Bersatu) bertujuan memperjuangkan persamaan hak. Seterusnya Lee Kuan Yew memulakan kempen "Malaysia Untuk Orang Malaysia" dengan penegasan bahawa tiada sebarang kaum pun di Malaysia lebih asli daripada kaum-kaum lain. Kenyataan itu dianggap oleh orang Melayu satu cabaran langsung kepada status orang Melayu. Setelah konvensi diadakan pada 9 Mei, ternyata laungan slogan PAP semakin menyatukan orang Cina untuk memusuhi Melayu.
Keadaan semakin meruncing setelah kempen "Malaysian Malaysia" Lee disambut oleh ekstrimis UMNO di bawah Jaafar Albar dengan laungan "Melayu Bersatu". Sementara itu pemimpin-pemimpin MCA mula melahirkan rasa tidak senang terhadap pendirian Singapura. Tan Siew Sin dan T.H.Tan antara pemimpin MCA yang mula mencadangkan Singapura berpisah daripada Malaysia.
Bagaimanapun usaha mencari penyelesaian telah dilakukan berkali-kali dari Jun hingga Ogos. Semuanya gagal kerana Singapura terus memburukkan keadaan. Akhirnya pada 7 Ogos 1965 Lee dan Tunku menandatangani persetujuan untuk berpisah. Pada 9 Ogos 1965, parlimen meluluskan rang undang-undang perpisahan. Dengan itu Singapura dengan rasminya keluar daripada Malaysia.
…………
Sebagai penutup beberapa persoalan boleh dikemukakan sekadar merangsang minda dan membuka perbincangan ilmiah. Bagaimana barangkali sekiranya Singapura terus kekal dalam Malaysia?.....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment